Monday, June 21, 2004

:: Somnambulism - Bahagian 1 ::

Mayat-mayat bergelimpangan...jasad anak-anak yang tidak berdosa berkecai... wanita diperkosa, diperlakukan sesuka hati... lelaki yang enggan berpaling dari mengesakan Ilahi, disembelih hidup-hidup... Sekujur tubuhku yang cacat ini hanya mampu melihat, melihat dari jauh.

Tiada kuasa di tanganku untuk aku menentang. Kaki yang lumpuh ini mengongkongku untuk bangun melawan. Namun terdetik dihatiku, cukupkah sekadar itu? Redhakah aku melihat saudara-saudaraku diperlakukan seperti binatang? Kukuatkan semangat... semangat untuk bangun menentang walaupun aku tahu aku tidak mampu.

Pelik... suasana yang diselubungi kesedihan ini langsung tidak kedengaran esakan tangisan. Sayup kedengaran hanyalah laungan takbir membesarkan Allah. Hanya kalimah Allahu Akbar yang dapatku dengar. Semakin kuat laungan Allahu Akbar, semakin teruk mereka diperlakukan. Darah berhemburan... Aku sekali lagi hanya mampu melihat...

Allahu Akbar Allahu Akbar Lailahaillallah Najihan bangun Najihan! Dah masuk Subuh ni! Kedengaran suara pekerja RAIS. Tersentak aku dari mimpi yang belum pernah kualami. Lalu aku berganjak ke kerusi roda untuk berwuduk. Hari ini 27 Rejab, semalam selepas ceramah Israk Mikraj, sempat kutunaikan solat hajat dan terus tertidur di atas sejadah ini rupanya. Aku bermimpi melalui perjalanan jauh ke bumi Palestin, melihat saudara-saudaraku disiksa dan ditindas. Melihat kanak-kanak Palestin yang sebaya denganku disembelih hidup-hidup. Disembelih semata-mata kerana berpegang pada ajaran Ilahi. Bila kuimbas kembali mimpi tadi, tanpa kusedar, air mataku menitis...

"Ya Allah Kau selamatkanlah hambaMu ini dan selamatkanlah saudara-saudaraku di Palestin dan di seluruh dunia. Ya Allah tiada lagi warisku didunia ini melainkan umat Islam. Bantulah hambaMu ini dan bantulah mereka, Ya Allah!"

Aku melangkah masuk ke surau RAIS bersama kerusi roda yang sudah menjadi sebahagian anggota badanku ini. Di surau inilah, kuluahkan segala perasaanku ini pada Ilahi. Tiada lagi tempat untuk aku mengadu,melainkan terus pada Ilahi dan tiada lagi kepunyaanku didunia ini melainkan kasih Ilahi. Kasih mesra ayah dan ibu yang kuharapkan belum tercapai atau mungkin tidak akan aku kecapi. Walaupun jauh disudut hati ini tersimpan hasrat yang besar. Hasrat untuk menatap wajah dua insan istimewa. Insan yang dengan perih-jerih pernah mengandungkan aku dan insan yang pernah melaungkan ke telinga ini kalimah pertama mengagungkan Ilahi.

"Ayah ibu ketahuilah bahawa hati ini teringin untuk bertemu dan mengucup tangankalian, mengucap terima kasih seperti anak lain, walaupun tidak dapat kugambarkan wajah ayah,ibu..."

Kali terakhir aku bertemu ayah dan ibuku mungkin 12 tahun yang lepas. Waktu itu aku masih tidak tahu apa-apa, anak kecil yang baru berusia setahun. Ayah dan ibu tinggalkan aku bersama cebisan nota di depan pintu RAIS.

[Tolong jaga bayi ini buat sementara. Saya akan datang ambil,nanti. Namanya Najihan.]

Cebisan nota inilah satu-satunya harta warisan ayah,ibu yang Najihan miliki hingga hari ini. Di mana saja Najihan berada, pasti satu-satunya harta pusaka ini akan Najihan bawa bersama di dalam genggaman, dengan harapan suatu hari nanti dapat Najihan menatap wajah ayah dan ibu!

Masih kuingat lagi, ketika kali pertama aku diberitahu tentang cebisan nota itu oleh ketua pengasuh RAIS. Entah kenapa, aku tetiba menangis meronta meminta untuk menyimpan cebisan nota itu. Mungkin golongan cacat seperti aku ini, ada waktunya sukar untukku mengawal emosi. Mungkin juga ikatan darah dan kasih sayang yang terpendam pada cebisan nota itu menyebabkan aku bertindak begitu. Alangkah baiknya jika dalam mimpi semalam dapat aku meronta melawan untuk membela saudaraku dari terus disiksa. Kerana bagiku, tiada lagi warisku melainkan semua saudara seIslamku. Terguris hati mereka, bermakna terguris jugalah hatiku ini. Merekalah satu-satunya saudaraku

Namun tiada apa yang dapat aku lakukan! Aku yang cacat ini... aku yang terencat ini hanya menjadi bahan ketawa bila aku mengeluarkan kata-kata. Ke mana perginya suara umat Islam yang lain? Atau,mungkin saudaraku yang lain sudah hilang rasa persaudaraan? Jangan begitu saudaraku! Jika aku menjadimu pasti aku bangun bersuara!

Saudaraku bersuaralah! Setidak-tidaknya bersuaralah untuk aku yang tidak mampu bersuara ini! Bangunlah bertindak untuk aku yang tidak mampu bangun ini! Pertahankanlah saudaraku dan saudaramu jua! Cukuplah untuk aku tidak berayah dan tidak beribu! Tak sanggup untuk aku kehilangan saudaraku pula

Ya Allah Kau kuatkanlah semangatku! Kau kuatkanlah semangat saudara-saudaraku! Bantulah kami, Ya Allah!.

(..to be continued..)

Cerpen ini BUKAN karya teman tapi teman dapat kebenaran khas daripada penulis karya ini untuk dikongsi bersama sebab teman rasa ada mesej yang tersembunyi yang perlu disampaikan.

Insya-ALLAH ikutilah sambungannya nanti ye. Hakcipta terpelihara dan jazaakumullahukhair kepada penulis yang sudi berkongsi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home