Tuesday, September 27, 2005

:: Salam Ramadhan ::

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 3 Okt.

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan tarikh melihat anak bulan Ramadan tahun ini ditetapkan pada Isnin, 3 Oktober bersamaan 29 Syaaban 1426 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, tarikh permulaan puasa yang ditetapkan akan diisytiharkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sebanyak 28 stesen cerapan telah diperkenankan untuk jawatankuasa itu melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut.

>Petikan Utusan Malaysia 27092005<

Sunday, September 18, 2005

:: Menarik!! ::

Download segera Video Clip Seminar Harun Yahya di Tokyo pada bulan Mei 2005 yang lalu di: http://ipij.tripod.com/radioipij/collection.html

Sila buka folder: Program - Harun Yahya's Conference In Japan

Friday, September 09, 2005

:: Kembali Menulis ::

Assalamua'laikum..
Bismillahi wal hamdulillah..

Lama tak menulis, mungkin kesibukan atau mungkin ketiadaan motivasi atau mungkin malas.. atau atau atau.. . Apa-apapun kita sudah di bulan Syaa'ban, alhamdulillah. Mudah-mudahan Allah terus memberikan izin-Nya untuk mengecapi bulan Ramadhan tahun ini, ameen.

Untuk kali ini, mari kita sambung artikel mengenai Dakwah - Part IV bahagian terakhir. Mudah-mudahan beroleh manfaat,insya-Allah.

:: Dakwah - Part IV ::
Shah Kirit bin Kakulal Govindji

Namun begitu dalam kita menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah swt didalam Surah An-Nahl 16:125 “Serulah kejalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.

Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan lemah lembut bila menyampaikan da’wah Islamiah kepada orang-orang bukan Islam? Jarang sekali. Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah; “Dalam Islam kita mesti sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak), mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!) dan bermacam-macam lagi. Saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak ‘meMelayukan’ seseorang yang masuk Islam dari mengIslamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah satu agama yang sangat menyusahkan umatnya.

Sepatutnya kita jangan terlalu tekan berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan. Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah mantap barulah kita sampaikan bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan seseorang individu. Bila iman sudah kukuh dihati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, InsyaAllah.

Saya ingin mengajak semua yang hadir disini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangun. Bukannya bangun dari tempat duduk tetapi marilah kita bangun tidur kita. Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangun dan laksanakan tanggung-jawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita untuk menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah kepada sesama Islam.

BERHENTI dari memberikan alasan. Bila saya mengajak orang untuk berda’wah, mereka selalu memberikan alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah swt memberika amaran kepada kita dalam Surah At-Taubah 9:24 “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-oramg yang fasik (derhaka)”. Hari ini kita orang-orang Islam masih lagi tunggu!

Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut:

a) Tunggulah saya pandaisampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu; “Sampaikanlah walau satu ayat”.

b) Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islamsekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir Rasulullah saw; “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang tidak hadir”.

c) Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan da’wah - di zaman Nabi Muhammad s.a.w. terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Ini tidak menghalang baginda dari memberikan da’wah kepada kaum Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu padukan semua kaum tersebut dibawah panji Islam!

d) Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur dalam hal orang lainDalam Islam ia menjadi tanggung-jawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi munkar’.

Saya akhiri dengan sketsa berikut; bayangkanlah suatu hujung minggu kita pergi berkelah bersama keluarga ke pusat peranginan di tanah tinggi seperti di Genting Highland (tanpa singgah di kasino). Bila sampai ke puncak yang paling tinggi, kita pun menghamparkan tikar dan mula menjamu selera bersama-sama dengan keluarga. Dalam kelekaan kita makan dan minum, anak kita yang berumur 2 tahun telah berlari-lari sampai ke hujung tebing; dihadapannya adalah jurang yang cukup dalam. Na’uzubillah, cuba bayangkan anak atau adik kita yang berumur 2 tahun berada dalam situasi itu. Cemas tak? Betul-betul sebelah anak kita ada seorang lelaki dewasa yang sihat dan waras. Apa yang perlu dilakukannya adalah hulurkan tangan dia dan pegang anak kita, InsyaAllah anak kita akan selamat. Tetapi lelaki tadi tidak endahkan anak kita dan anak kita melangkah lagi lalu jatuh kedalam gaung dan mati. Ketika itu adakah kita akan ucapkan terima-kasih kepada lelaki itu kerana tidak masuk campur dalam urusan orang lain? Tidak, kita akan salahkan dia kerana tidak mahu menolong anak kita. Kita akan tuduh lelaki itu sebagai seorang yang sangat kejam.

Tuan-tuan dan puan-puan, sebenarnya kitalah orang-orang Islam yang memegang watak lelaki yang kejam tadi. Kita ada ramai kenalan bukan Islam seperti rakan kerja, kawan jiran dan sebagainya tetapi kita tak pernah buka mulut kita menyampaikan mesej Islam. Kita biarkan sahaja mereka mati dalam keadaaan kafir. Di akhirat nanti mereka akan mengadu kepada Allah dan menarik kita sama-sama masuk ke neraka, na’uzubillah. Apakah alasan yang akan kita berikan pada Allah ketika itu? Marilah kita sama-sama bangun dan sampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam.

Wa akhiri da’wana anil hamdulillahi Robbil ‘alamin.

1. [The Principal Upanishad by S. Radhakrishnan page 447 and 448][Sacred Books of the East, volume 1 ‘The Upanihads part 1’ page 93]
2. [The Principal Upanishad by S. Radhakrishnan page 745][Sacred Books of the East, volume 15 ‘The Upanihads part II’ page 263]
3. [The Principal Upanishad by S. Radhakrishnan page 736 and 737][Sacred Books of the East, volume 15 ‘The Upanihads part II’ page 253]
4. [The Principal Upanishad by S. Radhakrishnan page 737][Sacred Books of the East, volume 15 ‘The Upanihads part II’ page 253]
5. [Yajurveda by Devi Chand M.A. page 377]
6. [Yajurveda Samhita by Ralph T.H. Griffith 538]
7. [Yajurveda Samhita by Ralph T.H. Griffith 538]

* ALLAH MAHA KUASA, MAKHLUK TAKDE KUASA *