Friday, February 24, 2006

:: Nasyeed ::

Liku-liku Hidup "Seorang Nasyid"

Nasyid adalah lagu yang membawakan mesej dakwah atau mesej yang baik melalui liriknya. Itulah takrif melalui pendapat umum atau masyarakat tentang nasyid. Alhamdulillah, sejak lahirnya kumpulan Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana, Brothers (dan lain-lain) satu masa dahulu telah membuatkan anak-anak muda kita khususnya dan seluruh lapisan masyarakat iaitu kanak-kanak, dewasa dan tua mendapat satu alternatif atau jalan lain bagi memenuhi naluri manusia yang inginkan hiburan.

Kalau kita imbas kembali, anak-anak muda dahulu yakni golongan dewasa sekarang ini dunia mereka penuh dengan hiburan tapi kurang bermesej seperti yang dibawakan nasyid. Mungkin bagi mereka yang bersungguh-sungguh inginkan sesuatu yang baik dan bersih akan cuba sedaya upaya mencari sumber nasyid tradisional yang ada pada masa itu seperti kumpulan nasyid Nadamurni, The Zikr, Nahwan Nur dan sebagainya. Kalau kita ingat pada waktu itu, ketika sesetengah anak muda sibuk dihanyutkan dengan lagu-lagu cinta yang mengasyikkan (lagu-lagu evergreen yang kini di kompilasikan untuk dipasarkan semula) ada pula satu golongan yang sangat kuat daya juangnya untuk memartabatkan lagu-lagu yang sedap didengar telinga dan hati.

Sebelum munculnya album nasyid kontemporari secara komersial dan pada awal kemunculan album nasyid komersial pertama, pada waktu itu banyak pelajar sekolah dan kolej khususnya menghasilkan album-album nasyid sekolah secara kecil-kecilan mungkin untuk kepuasan sendiri selain untuk berdakwah dan dipasarkan di pasaran tradisional. Antara yang mungkin kita masih ingat kumpulan Mirwana, Suara SMAKL, Soutul Mujahidin, dan banyak lagi yang menggambarkan betapa remaja-remaja kita pada masa itu terlalu dahagakan hiburan berasaskan Islam yang seperti disebutkan di atas sedap didengar di telinga dan sedap pula hati nurani kita menghayatinya.

Bersemangatnya mereka hingga sanggup menongkah arus dunia hiburan, meninggalkan lagu-lagu yang enak telinga dan nafsu mendengarnya lalu mereka bermula dengan satu irama yang baru yang menyenangkan hati bila mendengarnya. Maka banyaklah album-album nasyid 'underground' terhasil pada masa itu, ada yang baik dan ada yang kurang baik mutunya. Akan tetapi, dek kerana kuatnya semangat untuk menegakkan irama nasyid, tak kira baik atau tidak mutunya, peminat-peminat nasyid pada masa itu tetap berusaha mendapatkan album-album yang dihasilkan.

Penasyid-penasyid pada masa itu telah membuat satu pembaharuan atau kelainan, bukan kepada yang lebih advance pada mata orang seni, tapi yang lebih mundur pada pandangan mereka sebab tiada alat muzik digunakan, dan kalau ada pun cuma alatan perkusi. Akan tetapi, pada pandangan insan-insan yang gemarkan sesuatu yang suci dan bersih, 'advance' nya lagu-lagu nasyid itu adalah pada liriknya dan alunan lagunya yang menyentuh hati, mampu mengalirkan air mata, mampu menyebakkan dada, mampu membuatkan kita teringat hinanya diri dihadapan Tuhan dan singkatnya hidup didunia ini, kurangnya bekalan untuk dibawa ke dunia yang kekal abadi nanti dan sebagainya.

Masih ingat lagi beberapa lagu yang telah mengalirkan air mata kita, Munajat contohnya, oleh Nadamurni, Air Mata Keinsafan oleh The Zikr, Anugerah oleh Nahwan Nur, YaAllah, indahnya lagu-lagu nasyid pada masa itu, mendengarnya membuatkan hati sebak dan sayu walaupun dalam masa yang sama terasa indah dan manisnya keinsafan. Bahkan, dalam solat malam dan munajat kita pada-Nya di hening subuh pun, lagu-lagu ini dapat kita gunakan bagi menambah sayu dan pilunya hati yang banyak berdosa ini.

" Air mata keinsafan yang mengalir di malam sepi, inilah dia pelembut jiwa, bagi mendapat kasih Ilahi, rintihan di pertiga malam dari seorang hamba yang dhoif, kerna mengenang segala dosa, moga mendapat keampunan dari Ilahi…"
–The Zikr
-----------------

"Tuhan, ku bisikkan kerinduan, keinsafan, pengharapan…
Tuhan, ku sembahkan pengorbanan membuktikan keinsafan,
Bisikanku untuk Mu Munajat ku mohon restu, semoga cinta ku bukan palsu pada desiran penuh syahdu gelombang lautan rinduku…"
-Nadamurni
-----------------

"Jalan yang berliku telah aku lalui, juga jalan berbilang simpang telah aku redahi aku rebah aku tersungkur lalu bangkit berbekalkan azam juga iman dari Mu Tuhan dalam meneruskan perjuangan, anugerah dariMu Allah ku salurkan menuju jalan Mu anugerah dari Mu Allah, dalam mengetuk hati insani…"
-Nahwan Nur

Alangkah indahnya lirik-lirik tersebut dialunkan dengan lagunya yang menyentuh hati. Dalam lagu Anugerah (Nahwan Nur) di atas, tergambar betapa tulusnya hati seorang penasyid yang ingin memanfaatkan seadanya anugerah dari Allah untuk membuka hati manusia ke jalan yang diredhainya. Moga-moga itulah yang kekal dalam hati penasyid-penasyid yang kita sayangi kini…amin.

Pada masa itu, imej nasyid sangat jelas, bila diperdengarkan kaset nasyid, dengan lagunya yang menginsafkan, liriknya yang baik-baik, muziknya yang hanya menggunakan perkusi dan ringkas lagi menenangkan, menonjolkan lirik dan suara lebih dari muziknya, inilah nasyid, pasti. Dan dengan sebab itulah sesuatu lagu itu dipanggil nasyid, siapa yang mendengarnya tak kira peminat nasyid atau orang-orang seni pasti akan menggelarkannya dengan lagu nasyid. Lagi pun penasyid-penasyidlah pada masa itu yang banyak menyempurnakan sunnah Rasulullah dengan pakaian mereka dan perwatakan mereka. Melihat penampilan mereka pun, kita akan mengetahui dengan jelas bahawa mereka adalah penasyid.

Betapa jelasnya imej nasyid, hinggalah kumpulan Raihan yang membawakan lagu-lagu dengan berlatarbelakangkan perkusi latin dan sedikit programmed music serta alatan ketuk tradisional seperti marimba, kompang dan gong diterima di khalayak antarabangsa dengan satu cabang seni yang baru. Apa yang mereka nampak tentang nasyid yang dibawakan Raihan? Liriknya? Tidak sama sekali sebab mereka tidak memahami Bahasa Melayu. Apakah yang mahu di dengar oleh Ratu Elizabeth daripada Raihan? Apakah yang mahu di dengar oleh kaum Cina dan India yang bukan Islam dari album Puji-pujian?

Tentunya alunan satu imej muzik yang baru dengan mainan perkusi, dan gabungan harmoni suara penasyid-penasyidnya. Itulah imej nasyid yang dibawakan pada masa itu di arena seni tanahair dan antarabangsa, itulah sesuatu yang baru atau kelainan yang kreatif untuk membentuk satu khalayak baru peminat seni. Maka bila kita katakan nasyid, semua orang akan tahu, itulah lagu yang menggunakan tidak kesemua alat muzik tetapi menggunakan kebanyakan perkusi, penasyidnya menggunakan paduan suara yang harmoni, dan liriknya berunsurkan nasihat khususnya mengingati Allah dan Rasul. Atau secara terbaliknya, bila kita dengar sesuatu lagu, liriknya nasihat, muziknya perkusi dan sedikit muzik dari keyboard, lagunya menyentuh hati, yang menyanyikannya memakai kopiah, maka itu adalah nasyid, tak perlu penasyid itu memberitahu dia membawa lagu nasyid atau tidak.

Imej nasyid pada masa itu sangat tinggi dan martabatnya jauh lebih tinggi dari konsep-konsep muzik yang lain di Malaysia. Masakan tidak, album nasyid boleh dijual hingga beratus-ratus ribu unit berbanding album biasa yang terlalu sukar walaupun untuk mencecah lima puluh ribu unit. Bahkan, jumlah jualan tersebut juga mencatat rekod baru jualan album di Malaysia yang kemungkinan besar tidak akan dapat dipecahkan lagi. Nasyid versi Malaysia juga menjadi muzik antarabangsa apabila masyarakat dunia juga mengiktirafnya. Masih ingat lagi bagaimana media-media barat juga memaparkan cerita tentang lima anak muda (Raihan) yang berjaya dengan imej dan konsep muzik baru.

Disebabkan gahnya muzik baru itu (nasyid) membuatkan ramai yang mahu mendengarnya walaupun bukan Islam, atau pun yang tidak faham bahasa Melayu. Alangkah berbunganya hati peminat-peminat nasyid tanahair pada masa itu, dan bertambah meluap-luaplah semangat remaja-remaja kita pada masa itu yang beria-ia dengan irama nasyid mereka.

Penasyid-penasyid tidak lagi perlu malu, atau menganggap seni yang mereka bawa itu murahan atau hanya underground sahaja. Maka muncullah lagi pejuang-pejuang nasyid yang dulunya bergerak underground dengan menghasilkan album komersial seperti Hijjaz dan Rabbani yang dulunya berjuang didalam Nadamurni.

http://nasyid2u.blogdrive.com/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home