:: Renungan ::
p/s: artikel ini teman ambil dari ipij_group@yahoogroups semalam.. Renungan Jumaat. Semoga boleh dikongsi bersama-sama.Assalamua'laikum
Bismillahi wal hamdulillah.. syukur kepada ALLAH di atas nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya sehingga kita masih lagi dapat mengecapi nikmat Islam dan Iman.
Jumaat datang lagi dan menuntut kita untuk selalu membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji. Renungan Jumaat kali ini ingin membawa muslimin muslimat netters sekalian untuk menghayati dua ayat yang dibaca tidak kurang dari 17 kali sehari semalam. Mari kita renungi ayat ke-6 dan ke-7dari Surah Al-Fatihah. Maksud firman ALLAH Taa'la:
[6] Tunjukkan kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni'mat ke atas mereka bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.
Setiap hari kita memohon kepada ALLAH agar ditunjukkan jalan yang lurus. Syed Qutb di dalam tafsirnya, Fi Zilalil Qur'an (Di Bawah Naungan Al-Qur'an) menjelaskan, melalui ayat ini kita memohon kepada ALLAH agar diberikan taufiq untuk memilih jalan yang lurus dan selepas mengenalinya, kita memohon agar diberi taufiq pula untuk mengikut jalan yang lurus itu dengan kejujuran.
Mengikut Tafsir Ibn Kathir, jalan yang lurus ini adalah jalan orang-orang yang telah diberi nikmat oleh ALLAH iaitu yang dinyatakan oleh ALLAH dalam Surah An-Nisa' ayat 69 hingga 70 bermaksud:
[69] Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi dan orang-orang Siddiqiin dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
[70] Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya).
Muslimin muslimat yang dirahmati ALLAH,
Kebelakangan ini ummat Islam dikejutkan dengan pelbagai isu ummat Islam. Antaranya isu seorang lelaki dikenali sebagai Haji Kahar mengaku sebagai nabi untuk ummat Melayu di Selangor dan kini yang panas adalah ajaran Ayah Pin (dengan "Kerajaan Langit"nya) di Terengganu. Kalau dahulunya kita dikejutkan dengan serpihan kumpulan Black Metal yang membakar dan menghina Al-Qur'an. Ini baru segelintir daripada beribu macam ajaran-ajaran yang memesongkan akidah.
Kita belum lagi memperkatakan mengenai Kristian dan Yahudi lagi, belum lagi memperkatakan ajaran-ajaran tariqat yang sesat, Syiah, Muktazilah, Qadariyah, Anti-Hadis dan sebagainya.
Belum juga kita membincangkan persoalan bidaah dan khurafat.
Para netters yang dihormati,
Penulis ingin mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini untuk mengajak kita sama-sama bermuhasabah diri dari kesalahan-kesalahan kita dan seterusnya memohon keampunan, petunjuk dan taufiq dari ALLAH. Tanpa hidayah dan taufiq-Nya, sudah tentulah kita akan termasuk ke dalam golongan-golongan yang penulis namakan sebagai ajaran sesat ini.
Berwaspadalah kita dengan ajaran-ajaran sesat yang cuba memesongkan kita dari nilai aqidah sebenar. Bagaimana untuk berwaspada kalau tiada ilmu agama di dada?
Muslimin muslimat,
Di sinilah perlunya tindakan dari kita semua. Setiap seorang dari kita mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan diri kita, ibu bapa kita, adik beradik kita, kaum kerabat kita, sahabat-sahabat kita.. dari seksaan api neraka ALLAH. Marilah kita bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Bila menyebut menuntut ilmu, ianya bermaksud ilmu dunia dan ilmu akhirat.
Marilah marilah sahabat-sahabat menambah ilmu duniawi.. juga ukhrawi. Atas kepentingan ilmu ukhrawi maka IPIJ tidak jemu mengadakan program agama baik di internet juga di Jepun. Mari sediakan sedikit daripada masa yang kita ada untuk mempertingkat ilmu dan memperteguh iman di dada.
Perlulah kita sedar bahawa sesungguhnya hanya aqidah yang soheh dan amal soleh sahaja yang dapat menyelamatkan kita di hari Kiamat kelak, hari di mana tiada perlindungan kecuali perlindungan ALLAH semata. Sedarlah.. hanya Islam sahaja yang dapat menjamin kita ke syurga dan menjauhkan kita dari neraka ALLAH. Islam itulah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.
Semoga dengan sedikit peringatan ini dapat menyedarkan kita betapa besarnya nilai ilmu dan amal. Ingatlah.. hanya dengan rahmat, hidayah dan taufiq ALLAH sahaja kita dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat. Allahua'lam bissowaab.
RENUNGAN JUMAAT
p/s: Jum bersama-sama sahabat-sahabat lain di Summer Camp IPIJ, kali ini di Shiga dari 8-12 Ogos insya-ALLAH. Maklumat lanjut: http://ipij2005.tripod.com/index.html
ALLAH MAHA KUASA, MAKHLUK TAKDE KUASA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home