Sunday, June 05, 2005

:: Hina Al-Qur'an Lagi ::

Caci, Bakar al-Quran: Syarat sertai geng JIT
Oleh SHARIFAH SALWA SAYED HASSAN, OMAR OSMAN, ZULIATY ZULKIFFLI dan MOHD FAZIL AHMAD

SUNGAI PETANI: Satu kumpulan dikenali sebagai ‘Jangan Ikut Tuhan’ atau JIT dan dipercayai serpihan pengikut Black Metal yang menggemparkan negara beberapa tahun lalu, kini dipercayai bergiat secara senyap di sekitar bandar ini.

Ahli kumpulan itu membabitkan remaja Islam berusia belasan tahun yang masih bersekolah dan mereka dikatakan menggunakan nama JIT untuk mengelak dikesan orang ramai serta pihak berkuasa.

Kumpulan terbabit yang dianggotai remaja lelaki dan wanita Islam dikatakan perlu melalui proses menghina Islam bagi menandakan mereka ‘free thinker’ iaitu golongan yang tidak mempercayai agama.

Kegiatan kumpulan JIT turut diedarkan melalui e-mel yang antara kandungannya menyatakan pengalaman seorang anggota kumpulan itu melalui upacara khas, termasuk membuat unggun api sebelum mengelilinginya sambil mengoyak naskhah al-Quran sebelum dibakar.

Menurut e-mel itu juga, remaja lelaki terbabit dikatakan memasukkan titisan darah mereka ke dalam gelas yang dipercayai bercampur darah kambing dan diminum.

Malah, lebih teruk lagi apabila remaja perempuan akan berbogel sambil mengoyakkan kitab suci itu dan ditaburkan, sebelum terus menghina ayat suci itu dengan melakukan seks bersama remaja lebih tua di atas cebisan naskhah al-Quran.

Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) Kamaruddin Kassim, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya kini memantau satu kumpulan yang mirip kumpulan Black Metal, namun masih mengumpul maklumat lanjut mengenainya.

“Berdasarkan maklumat, kami difahamkan ada usaha pihak tertentu menghidupkan semula kumpulan seperti Black Metal. Bagaimanapun, mereka mungkin menukar nama dan imej ahli.

“Jika benar kumpulan ini wujud, kita akan cuba menjejaki anggota mereka bagi mengelakkan lebih ramai remaja terpengaruh dengan kegiatan ini,” katanya.

Metro Ahad difahamkan, JIT diketuai beberapa ahli Black Metal yang masih belum insaf dan cuba memperjuangkan kepercayaan mereka yang bertentangan dengan Islam.

Dalam usaha mengambil anggota baru, pemimpin kumpulan JIT dikatakan mengedarkan cakera padat video (VCD) yang memaparkan cara menghina agama Islam dan diminta menghafal beberapa lagu dari kumpulan D.I.D Crashfighter dan Remember.

Selepas menonton VCD dan menghafal lagu dikehendaki, ahli JIT perlu melakukan amalan praktikal bagi menandakan mereka ‘free thinker’ iaitu mencuri al-Quran di masjid atau surau sebelum menjalankan upacara khas mengikut jantina.

Kegiatan kumpulan itu dikatakan bergerak secara bersembunyi dan mereka mencari ahli dengan memasuki kumpulan remaja serta mempengaruhinya supaya menyertai kumpulan baru yang kononnya lebih berkuasa.

Beberapa orang kuat kumpulan JIT dikatakan hanya datang untuk bertemu ahli mereka pada hari tertentu di sebuah kompleks beli-belah di sini dan sukar dikenali kerana sering menukar imej.

E-mel yang diedarkan itu juga menyebut bahawa Jabatan Agama Islam dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dikatakan mengetahui kesesatan remaja terbabit dan menahan ketua remaja perempuan yang dikatakan dalam proses pemulihan.

Malah, jabatan itu dikatakan masih menjalankan usaha mencari remaja lain yang bebas sehingga kini.

Penghantar e-mel itu juga memberitahu pengalamannya pada pertengahan 1980-an, ketika mengenali seorang lelaki Melayu di Terengganu yang dikatakan rajin membaca al-Quran, tetapi kemudian murtad.

Katanya, lelaki yang juga anak seorang guru itu dikatakan murtad selepas mengenali seorang wanita ketika melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim, berkata pihaknya belum menerima maklumat berkaitan ajaran sesat itu di Kedah, namun tidak menyangkal kemungkinan ia berlaku.

Bagaimanapun, katanya, pada zaman sekarang adalah tidak mustahil jika perkara itu hanya rekaan sesetengah pihak yang mahu menunjukkan Islam semakin lemah dan agama lain semakin agresif.

“Tidak mustahil perkara seperti itu berlaku, tetapi ia perlu dibuktikan terlebih dulu sebelum mana-mana pihak mempercayainya kerana ia mungkin dilakukan untuk mengelirukan orang Islam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bagi memastikan kesahihan laporan itu, Jabatan Agama Islam negeri berkenaan hendaklah bertindak lebih proaktif dalam menyiasat perkara terbabit.

“Perkara seperti itu hendaklah dibuktikan mengikut prosedur biasa, termasuk menyoal remaja terbabit serta memastikan mereka benar-benar murtad.

“Pihak yang ada maklumat berkaitan perkara itu juga harus menghubungi Jabatan Agama Islam bagi membolehkan mereka menjalankan siasatan terperinci,” katanya.


Sumber:
Harian Metro Online 20050605

ALLAH MAHA KUASA, MAKHLUK TAKDE KUASA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home