Saturday, January 22, 2005

:: Kelebihan Eidul Adha ::

Bismillah..

Fikrah: Aidiladha sama kelebihannya dengan Aidilfitri

ISLAM menetapkan dua hari raya dalam setahun untuk umatnya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Kedua-dua hari raya ini ada kaitannya dengan ajaran dan syariat Islam. Sejarah Islam ada mencatatkan bahawa setelah Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah, Baginda mendapati umat Islam di Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi secara turun-temurun dari nenek moyang mereka.

Maka, Baginda bersabda kepada mereka bermaksud: "Allah telah menggantikan kedua-dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik dari apa yang kamu rayakan itu iaitu: Hari Raya Puasa (Aidilfitri) dan Hari Raya Korban (Aidiladha)."

Sejak itu, sambutan kedua-dua hari raya ini dirayakan oleh umat Islam hingga hari ini. Inilah kelebihan dan keistimewaan kedua-dua hari raya dalam Islam.

Dan setiap perkara yang berdasarkan kepada syariat, ia adalah yang terbaik dan dituntut daripada umat Islam mengamalkannya. Amalan itu pasti mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

Aidiladha adalah hari raya paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Oleh itu, syariat Islam menentukan masa bertakbir dipanjangkan bermula pada malam hari raya (10 Zulhijah) hingga pada hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah). Takbir Aidiladha berakhir pada petang (waktu Asar) hari keempat Aidiladha (13 Zulhijah). Pada hari berkenaan diharamkan berpuasa, sebagaimana haramnya puasa pada 1 Syawal.

Sambutan Aidiladha bukan perayaan bersuka ria. Tetapi, hari raya umat Islam untuk beramal dan beribadah kepada Allah demi mengukuhkan keimanan, ketakwaan dan sifat tawaduk manusia kepada Allah.

Maka, Islam mensyariat dan menganjurkan amalan bertakbir (mengagungkan kemahakuasaan Allah), bertahmid (memuji-muji kebesaran Allah) dan bertasbih (menyucikan Allah daripada sebarang kesyirikan). Begitu juga melakukan ibadat korban yang amat dituntut dalam Islam kepada mereka yang berkemampuan pada Zulhijah ini dengan ditentukan hari selama empat hari setiap tahun.

Suatu kekeliruan yang besar berlaku dalam masyarakat kita selama ini kerana kebanyakan mereka menganggap, bahawa Aidiladha bukan hari raya yang patut diperbesarkan.

Malah, sesetengahnya memandang dingin dan sepi dengan kedatangan Aidiladha. Aidiladha sama kelebihannya dengan Aidilfitri.

Aidilfitri lebih kepada hari kemenangan bagi diri individu, yang berjaya menundukkan nafsu selama sebulan. Aidiladha pula mengandungi kisah sejarah tiga manusia agung, yang sepatutnya dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat.

Pemimpin, ibu bapa dan remaja perlu mencontohi pengorbanan tiga insan itu demi membina sahsiah diri dan seterusnya meraih kecemerlangan jasmani dan rohani serta duniawi dan ukhrawi bagi diri sendiri, keluarga dan umat keseluruhannya.

Tiga manusia agung yang dimaksudkan itu ialah Nabi Ibrahim, sebagai bapa. Siti Hajar, isteri solehah yang bertakwa kepada Allah dan ibu penyayang, mempunyai kesabaran luar biasa yang tiada tolok bandingnya. Seorang lagi ialah Nabi Ismail, anak soleh yang berjiwa takwa, berjiwa tawakal hingga sanggup disembelih oleh bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.

Ibadat korban pada Aidiladha dilakukan bukan saja semata-mata mengikut kehendak syariat Islam dalam menghidup dan meneruskan sunnah Nabi Ibrahim dan sebagai ikutan daripada perbuatan Nabi Muhammad, selain membantu golongan fakir miskin, malah lebih daripada itu.

Ia adalah simbolik daripada pengajaran Islam, agar umatnya sentiasa berkorban dan berjihad dalam hidup mereka. Pengorbanan itu sesuatu yang utama kepada pensaksian akidah untuk kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat.

Orang yang berjaya dan maju, hidup dengan menjunjung titah perintah Allah ialah mereka yang sanggup berkorban masa, wang ringgit, jiwa raga, tenaga, fikiran, perasaan dan kepentingan diri. Mereka inilah orang yang benar-benar berjihad untuk memperoleh keredaan Allah.Tanpa semangat berkorban, orang akan rasa sayang untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Makkah.

Tanpa semangat berkorban, orang tidak akan sanggup berwukuf di Arafah, di tengah-tengah sinaran panas matahari.

Demikian juga, tanpa semangat berkorban orang akan sayang untuk mengeluarkan belanja bagi penyembelihan haiwan dan sebagainya.

Musuh utama kepada pengorbanan itu adalah syaitan dan hawa nafsu. Syaitan berusaha supaya manusia sayang kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa dan pelbagai godaan dan pujukan lagi.

Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Faathir, ayat 6).

Sumber: Bharian

Antara artikel yang menarik:
Eid : Hukum dan Adabnya

ALLAH MAHA KUASA, MAKHLUK TAKDE KUASA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home