Monday, November 14, 2005

:: Artikel Best! ::

Tajdid Iman: 3 kegiatan untuk Muslimin isi masa
Bersama Dr Juanda Jaya

DUDUK dua jam di depan televisyen bagaikan tidak terasa berbanding duduk sebentar membaca dua muka surat al-Quran. Ya! Bukan main berat rasanya hendak menghabiskan ayat al-Quran yang tersekat pada lidah.

Jika tiba waktu sembahyang, disiarkan pula rancangan televisyen yang diminati, alangkah beratnya percaturan untuk memilih.

Menurut teori psikologis Dr Norman Vincent Peale, pakar pemikiran positif yang terkenal: "Tugas utama manusia bukanlah menanggung kehidupan, tetapi menguasai kehidupan." Ada persamaan orientasi pemikiran antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas'ud, apabila beliau berkata: "Belum pernah aku menyesal, melainkan penyesalanku ketika matahari terbenam, semakin singkat umurku, sedangkan amalanku tidak bertambah."

Peribadi seperti ini tidak akan menyerah dengan kehidupan yang dijalani, bahkan dia berusaha untuk menguasai kehidupan dengan bersemangat.

Mereka sedar bahawa dunia ini tempat untuk berjuang. Di sini, kita menanam esok di akhirat tinggal menuai. Satu detik yang dihabiskan untuk melafazkan subhanallah cukup untuk memberatkan timbangan amal soleh di akhirat.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya "al-Waqt fi hayal al-muslim" (Detik-detik Masa Dalam Kehidupan Seorang Muslim) menyatakan keprihatinannya terhadap budaya kerja di Mesir berbanding rakyat Eropah. Beliau mengungkapkan satu kajian yang dibuat bahawa orang Eropah bekerja tidak kurang tujuh jam, bahkan lebih setiap hari, sedangkan rakyat Mesir bekerja tidak melebihi 30 minit sehari. Mengapakah umat Islam rela terhina dengan kemalasan dan terlena dengan mimpi panjang yang melemahkan akal ketika orang kafir menguasai daratan dan lautan, bahkan menembus cakerawala?

Setiap mukmin perlu mengisi masanya dengan tiga kegiatan berikut:

# Merancang kerja

Setiap hari yang dilalui seorang mukmin adalah simpanan baginya. Kerana waktu sesaat akan menjadi penyumbang pada buku laporan kerja di bawah pemegang kuasa dua malaikat, Raqib dan Atid.

Segala kerja baik akan direkodkan dan tidak terkecuali dengan kerja kejahatan pasti akan direkodkan. Kerja baik adalah ibadat jika diniatkan kerana mengharap reda Allah. Tugas memakmurkan bumi adalah ibadat yang menjanjikan imbalan.

Seorang mukmin sejati tidak boleh duduk diam melihat kemiskinan dan kebodohan melanda umat kerana dia dilahirkan untuk menjadi khalifatullah fil Ardh.

Kerja yang dilakukan hendaklah memberi manfaat kepada dunia dan akhirat. Sebenarnya kita bekerja untuk Allah. Hidup ini untuk memastikan kewujudan diri kita berada pada tahap paling mulia, berjaya dan diredai Allah.

# Mengurus diri

Mukmin yang amanah terhadap masa, cekap menguruskan dirinya. Kebijaksanaan mengenal diri dan mengawalnya adalah kunci kejayaan bagi perancangan yang dibuat. Kenali diri dan cuba terokai nilai positif yang ada dan serlahkanlah ia untuk kemajuan anda.

Ilmu mengenal potensi diri mengajar kita sentiasa bermuhasabah terhadap apa yang baik dan buruk untuk menjamin kejayaan. Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam Ihya' 'Ulumuddin mengajar kita mengawal tujuh anggota badan yang zahir iaitu mata, telinga, mulut, tangan, kaki, perut dan kemaluan agar mereka tunduk kepada nilai positif.

# Memberi manfaat kepada orang lain

Hidup kita akan lebih bererti jika perbuatan yang dilakukan memberi kebahagiaan kepada orang lain.

Biarlah hidup ini berjalan dengan potensi setiap orang yang dicurahkan untuk kesejahteraan bersama. Seperti sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang memudahkan urusan orang yang mengalami kesulitan, maka Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia mahupun di akhirat. Barang siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, Allah pasti akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat.

“Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama dia menolong saudaranya."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

[SUMBER ARTIKEL: BHarian 14Nov.2005]

1 Comments:

At 11:20 AM, Anonymous Anonymous said...

This comment has been removed by a blog administrator.

 

Post a Comment

<< Home